7 Perkara Yang Boleh Korang Lakukan Sebelum Ramadhan Tiba

Tidak lama lagi, umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, iaitu bulan suci yang padanya terdapat pelbagai kenikmatan dan anugerah. Bulan Ramadan bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi terdapat juga hadiah lain, antaranya malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Selain itu, dalam bulan mulai ini juga doa-doa kita akan mudah dimakbulkan oleh Allah SWT, serta diganjarkan dengan pahala yang berlipat kali ganda. Sungguh sayang Allah pada umatnya sehingga diberikan angerah bulan ini. Baik, dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan ini, setiap Muslim hendaklah mengetahui perkara yang perlu dilakukan, serta amalan-amalan yang disyariatkan oleh Allah dan para RasulNya. Apakah amalan-amalan itu?

1. Banyak Berdoa

Banyakkanlah berdoa. Berdoalah apa-apa jua hal yang membawa kebaikan kepada kita semua. Paling penting, berdoalah agar diberikan peluang untuk bertemu dengan Ramadan dalam keadaan sihat sejahtera supaya dapat melaksanakan segala ibadah dengan baik. Sebabnya, pada bulan inilah waktu yang tepat untuk kita mengejar pahala ibadah yang berlipat ganda itu.

2. Bersyukurlah dan Memuji Allah

Kita ini hanyalah hamba Allah, jadi bersyukurlah atas apa-apa jua yang Allah berikan pada kita. Tambahan lagi apabila mendapat kesempatan utuk bertemu dengn bulan yang dirahmati ini.

Ingat, Ramadan ini adalah nikmat besar yang Allah SWT berikan untuk kita beribadah kepadaNya. Jadi inilah peluang untuk tunjukkan ketaatan kita untuk meraih sebanyak-banyak pahala dan kebaikan. Lalu bersyukurlah dengan selalu memuji Allah SWT dan jangan lalai beribadah kepadaNya.

3. Sambutlah Ramadan dengan Gembira

Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadan ini. Sesungguhnya Rasulullah SAW juga selalu memberikan khabar gembira kepada para sahabat setiap kali tibanya Ramadan.

Sabda Baginda;

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat. Allah telah

mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.”

(Hadis Riwayat Ahmad)

Para solihin juga sangat gembira dengan kedatangan bulan Ramadan yang penuh kerahmatan ini. Jadi ayuhlah kita juga mengikuti mereka dengan bergembira menyambut Ramadan, jangan awal-awal lagi memikirkan kelelahan berpuasa pula.

4. Mempelajari Ibadah

Waktu inilah masa yang sesuai untuk mempelajari atau mengulangkaji semula setiap ibadah. Kadang-kala ada yang kita sudah lupa dan terkeliru, contohnya solat sunat Tarawih yang dilakukan hanya dalam bulan puasa, mungkin ada bahagian yang kita ingat-ingat lupa.

Jadi pelajarilah semula ibadah ini kerana wajib bagi setiap mukmin untuk beribadah dengan caran yang betul dan tepat.

5. Bertekad untuk Melakukan Kebaikan

Bulan Ramadan datang sekejap sahaja, hanya sebulan. Jadi selama Ramadan itu tiba, tetapkanlah matlamat untuk beribadah sebanyak mungkin. Tekadlah untuk berpuasa penuh, mendirikan solat sunat Tarawih setiap malam, bersedekah sebayak-banyaknya, membaca al- Quran sehingga khatam dan pelbagai lagi amalan mulai lain.

Jangan hanya memikirkan tentang hari raya saja, sehinggakan sebelum puasa lagi baju raya sudah berhelai-helai ditempah.

6. Berusaha Meninggalkan Dosa Dan Amalan Buruk

Jika ada amalan dan perbuatan buruk yang sering kita lakukan sebelum Ramadan, tinggalkanlah atau bertaubatlah! Jangan ulangi lagi. Berazamlah untuk meninggalkan perbuatan itu selama-lamanya. Ini kerana Ramadan adalah bulan taubat.

Paling penting, jangan cemari bulan mulia ini dengan perbuatan-perbuatan munkar dan dimurkai Allah SWT.

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.”

(an-Nur : 31)

7. Biasakan Diri dengan Amal Ibadah

Sebelum tibanya bulan Ramadan ini juga, biasakanlah diri dengan amalan-amalan soleh. Ini kerana apabila tibanya bulan Ramadan nanti, kita sudah pun bersedia untuk meneruskan amalan dengan lebih banyak dan terus komited.

Bahkan apabila tiba 10 malam terakhir Ramadan pula, kita sudah membuat pecutan akhir dengan banyak lagi amal ibadah. Jangan apabila tiba Ramadan, barulah kita hendak memulakan ibadah. Sudah pasti banyak yang ketinggalan nanti.

Kesimpulannya, dalam bulan Syaaban ini pun kita sudah boleh bersedia untuk menyambut Ramadan dengan amal ibadah dan perbuatan-perbuatan yang bermanfaat. Selain itu, sambutlah juga keberkatan Ramadan ini dengan meninggalkan perbuatan terlarang dan maksiat sebagai menghormati kemulian bulan barakah ini.

Ingat, Ramadan hanya sekali dan tahun depan belum tentu kita bertemu lagi dengan bulan mulia ini. Jadikanlah Ramadan akan datang ini seperti Ramadan terakhir kita agar kita lebih khusyuk beribadah dan menhayati kehadiran Ramadan itu. Semoga segala niat dan amal ibadah kita diterima Allah SWT, amin. | #MalaysiaviralstoryDakwah

Komen Disini

About the Author

Rabiatul Adawiyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Be the first to comment on "7 Perkara Yang Boleh Korang Lakukan Sebelum Ramadhan Tiba"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Send this to friend